Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
KATOK, Khamis, 30 April. - Bagi mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan 'Rakyat Yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya', Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Katok, pagi tadi mengadakan Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-9 bagi meraikan seramai 292 orang pelajar yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) serta Brunei Cambridge GCE 'O' Level bagi Tahun 2025.
Majlis diadakan di dewan sekolah berkenaan dan merupakan acara tahunan sebagai tanda penghargaan kepada para pelajar Tahun 10 Fast-Track dan Tahun 11 yang telah menamatkan pengajian pada tahun lalu.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, dan isteri.
Turut hadir, para ibu bapa dan penjaga pelajar yang diraikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dan diikuti nyanyian Lagu Kebangsaan serta lagu rasmi sekolah.
Selepas itu diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran berserta terjemahannya dan disusuli ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengetua SUAMPRIPAHS, Dayangku Aidi Noorintan binti Pengiran Haji Zinin.
Seterusnya, penyampaian sijil kepada seramai 292 orang pelajar yang diraikan.
Di samping itu, seramai 23 orang pelajar telah menerima Hadiah Pelajar Terbaik dalam Peperiksaan SPUB bagi Tahun 2025.
Sementara lima orang pelajar menerima Hadiah Pelajar Terbaik dalam Peperiksaan Brunei Cambridge GCE 'O' Level bagi Tahun 2025.
Seorang pelajar lagi turut menerima Anugerah Pelajar Imtiyaz Akademik, manakala tiga orang pelajar masing-masing menerima Anugerah Imtiyaz dan Anugerah Pelajar Mulhimah bagi Tahun 2025.
Atur cara majlis turut diserikan dengan persembahan oleh para pelajar dan ucapan oleh penerima Anugerah Pelajar Mulhimah.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis Haflut Takharruj diadakan dengan tujuan untuk membarigakan serta memartabatkan pendidikan Islam dan Arab dalam kalangan masyarakat Negara Brunei Darussalam, di samping menzahirkan kegembiraan, kesyukuran dan penghargaan atas kejayaan para pelajar dalam Peperiksaan SPUB dan Brunei Cambridge GCE 'O' Level.
Majlis juga dihasratkan menjadi pendorong dan pemangkin motivasi kepada pelajar-pelajar sekolah Arab untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.